Monday, December 20, 2010

Di Sebalik Nama: Tukang Warna

Posted by storyaboutagirl at 1:22 PM
Oleh Diyanah Anuar
2010/12/18

pix_gal0

Zedd lebih puas mewarna karya, lukisan pernah tersiar dalam majalah pasaran antarabangsa

DALAM aspek melukis atau mewarna karya ilustrasi, komik atau animasi, artis ini menganggap lukisan atau warna mesti jelas menyampaikan cerita serta difahami mereka yang melihatnya.

Muhammad Fariz Zulkipli atau nama penanya, Little Zedd berkata, sama ada ‘berat’ atau ‘ringan’ sesebuah lukisan atau warna yang dilakukannya, beliau akan memastikan apa saja yang dilukis itu difahami khalayak manakala warna digunakan mengindahkan lagi karya.
Bagaimanapun, Zedd mengakui, antara lukisan dan juga warna, beliau lebih mendapat kepuasan apabila membuat kerja mewarna - tidak kira karyanya sendiri atau artis lain.
Namun, Zedd tidak bercadang memberi tumpuan kepada bidang warna semata-mata sebaliknya masih ingin mencuba pelbagai kemahiran dalam kerjaya ini. Zedd pernah mewarna komik dan buku terbitan PTS seperti Baju Raya Dari Syurga, Shootz 3, Dear Yayah 3 serta Tiket Bola Sepak Untuk Putera Haziq.

Diimbas kembali, Zedd mula memilih seni sebagai kariernya selepas tamat pengajian dalam jurusan grafik di sebuah kolej tempatan. Walaupun ketika di sekolah menengah beliau mengambil aliran Sains Tulen, beliau cepat menyesuaikan diri dan menguasai teknik dalam lukisan dan seni grafik yang diikutinya di kolej. Ini kerana sejak bersekolah lagi, beliau banyak menghabiskan masa dengan melukis.

Cubaan awal Zedd dalam penghasilan komik bermula apabila beliau dan abangnya, Kimball diundang Silentgecko berkolaborasi dalam penerbitan zine (majalah buatan sendiri) Synthesizer. Seterusnya, Zedd banyak diberi posisi sebagai artis latar belakang di beberapa produksi tempatan.

Menurut Zedd, tugas sebagai artis latar belakang untuk animasi memerlukan beliau melukis objek di sekeliling karakter dalam sesebuah babak seperti peletakan props untuk sesuatu babak dalam drama.
“Dalam tugas begini, ada masanya artis mempunyai kebebasan untuk ‘menghias’ babak mengikut kesesuaian skrip tapi keputusan mutlak masih berada di tangan pengarah seni,” katanya yang dalam proses menyiapkan animasi Eichak di bawah kromosomlab bersama rakan seperjuangannya dalam industri ini.

Ceritakan peringkat awal anda bergiat dalam industri ini?

Selepas dua tahun setengah menuntut di peringkat diploma dalam bidang grafik, saya tidak terus memasuki alam pekerjaan sebaliknya memperuntukkan masa kira-kira setahun untuk mengasah kemahiran dalam bidang lukisan dan pewarnaan.

Dalam pada masa yang sama, saya turut memuat naikkan karya ke laman forum penggiat dan peminat seni, Pergh.com untuk mendapatkan maklum balas daripada ahli forum.

Di peringkat awal, komen yang diterima lebih meminta saya untuk memperbaiki kelemahan dalam karya yang dihasilkan. Berdasarkan maklum balas itu saya tidak jemu-jemu berlatih berkarya dengan lebih baik.

Apa pengalaman kerjaya pertama anda dalam bidang ini dan apakah kemahiran yang anda pelajari?

Selepas kira-kira setahun ‘kuarantin’ diri dan mengasah kemahiran dalam bidang seni lukis, barulah saya bersedia memasuki dunia pekerjaan. Kerjaya saya secara serius bermula dengan sebuah syarikat animasi di mana saya berkhidmat sebagai artis latar belakang (background artist).

Antara karya animasi itu ialah siri Si Potet musim kedua yang ditayangkan di saluran RTM. Ketika bekerja dengan produksi ini, saya lebih mendalami teknik menghasilkan animasi menggunakan perisian flash, teknik vektor dan sebagainya.

Selepas syarikat animasi, saya menyertai syarikat Infusion. Pada awalnya, saya terbabit dalam penghasilan animasi berjudul Sirah Anbia. Bagaimanapun, selepas itu saya diminta untuk berkhidmat dalam penghasilan produk e-pembelajaran pula.

Apabila diberi tugas ini, otak saya agak ‘tepu’ kerana melukis objek yang ringkas dan statik, tidak seperti kerja animasi yang saya lakukan sebelum itu.

Bagaimana anda boleh lebih cenderung dengan kerja pewarnaan dan warna yang bagaimana yang anda suka tampilkan?

Antara komik terbitan KLP Productions di mana saya terbabit sebagai pewarna ialah Eden Factor dan Chronos Prophecy. Jika diikutkan, sebelum bersama KLP saya sudah membuat beberapa kerja mewarna secara sambilan dengan penerbitan lain.

Apabila banyak kerja mewarna ini, baru saya sedar, saya sebenarnya lebih seronok mewarna berbanding melukis. Kadangkala, apabila saya saja-saja menconteng atau melukis, belum selesai lukis lagi saya sudah sibuk hendak mewarna.

Jika melukis, saya berpendapat bahawa berat atau ringan lukisan yang hendak dibuat itu, pokok pangkalnya saya ingin pastikan ia dapat difahami khalayak. Untuk kerja mewarna pula, ikut konsep, tapi saya akan cuba pastikan kombinasi warna yang digunakan adalah harmoni.

Namun, ada satu karya yang saya warnakan untuk artis komik, Nanzo iaitu War of the World. Saya terpaksa menggunakan banyak warna gelap yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Jadi, ia sesuatu yang baru bagi saya.

Sepanjang pembabitan dalam bidang ini, kerja atau karya yang mana paling sentiasa melekat dalam ingatan anda sehingga kini?

Dalam banyak-banyak karya, paling istimewa pada saya ialah karya yang saya hantar untuk penerbitan luar negara, UDON. Dua tahun lalu, syarikat ini membuka ruang kepada artis seluruh dunia menghantar lukisan karakter Street Fighter (SF) untuk dikompilasikan dalam sebuah artbook tribute untuk karakter permainan video popular itu.

Saya memilih untuk melukis karakter yang amat saya minati dalam SF iaitu Vega atau M.Bison. Saya begitu bersemangat dalam menghasilkan lukisan karakter ini dan sebenarnya, SF jugalah yang mencetus minat saya untuk melukis.

Tidak sangka pula, karya saya itu terpilih untuk dimuatkan dalam buku berkenaan. Buku ini dilancarkan pada pameran dan konvensyen komik antarabangsa, Comic Con di San Diego, Amerika Syarikat.

Selain itu, satu lagi projek yang memberi memori bermakna untuk saya ialah ketika terbabit penghasilan animasi Lat’s Window To The World bersama abang saya, Kimball. Animasi ini ditayangkan dengan iringan pemuzik Malaysian Philharmonic Orchestra.

Bagaimana pengalaman dan perasaan dapat bekerja dalam projek yang membabitkan kartunis tersohor negara itu?

Semestinya saya gembira dapat terbabit dalam projek ini. Kerjanya agak mencabar kerana kami perlu meniru strok lukisan Datuk Lat dan menghasilkan karakter karya popularnya untuk animasi ini. Datuk Lat turut turun padang untuk membantu kami dalam proses penghasilan animasi khas ini.

Syukur kerana Datuk Lat berpuas hati dengan hasil kerja kami.

Apa yang anda amalkan dalam kerjaya anda bagi memastikan anda boleh terus berkarya dalam industri ini?

Pada pendapat saya, bekerja dalam industri ini memerlukan seseorang untuk menyesuaikan diri dengan setiap apa yang berlaku. Apa yang penting untuk terus bertahan ialah cara kerja yang betul, sistematik dan disiplin.

Untuk memperbaiki mutu karya, saya sering bertanya pendapat orang lain atau melihat karya yang dihasilkan penggiat lain. Selain itu, hobi bermain permainan video juga mampu memberi idea kepada saya, terutama dari segi melahirkan konsep untuk sesebuah karya.

Info:
  • Nama : Muhammad Fariz Zulkipli
  • Tarikh lahir : 28 Februari 1983
  • Umur : 27 tahun
  • Asal : Alor Setar, Kedah
  • Laman web : z3dd.deviantart.com
congrats zedd~

0 comments:

♥ 환영합니다 ♥

 

our lady peace! Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting