Sunday, March 22, 2015

Cerita Untuk Dikongsi

Posted by storyaboutagirl at 3:53 PM 0 comments
Ada seorang adik bertanyakan soalan kepadaku,

"Selepas pemergian arwah ayah baru-baru ini, saya terasa down. Hilang semangat. Ajarkan saya erti reda, boleh?"

Soalan yang sukar dijawab.

Wahai adik,

Anggap saja ayahmu bukan pergi meninggalkanmu. Sekadar berehat dari dunia yang memenatkan ini.

Hidup ini meletihkan, dik.

Ayahmu itu telah melalui pahit maung, suka duka sebelum bersemadi. Untuk membesarkan dirimu saja, tanpa kamu sedari, bukan saja air keringat mengalir tetapi air mata jua telah pun menitis. Ayahmu telah berdepan dengan dunia yang penuh dengan ketidakadilan, penindasan, penipuan dengan menjadikan dirinya sendiri sebagai benteng. Untuk melindungi anak-anaknya. Biar saja dirinya derita, asal anak gembira dan bahagia. Cukup makan dan pakai. Ke sekolah dan universiti selesa berjaya.

Kedutan dan kulit yang kelihatan burn lagi kusam di wajah dan badan ayahmu, bukti letihnya berfikir, penatnya guna kudrat tulang empat kerat. Di ladang atau di ofis, tiada beza, tetaplah berpenat.

Biarlah ayahmu damai di sana.

Dengan apa dan bagaimana?

Dengan dirimu menjadi lebih baik dari semalam. Baiki jati diri, teguhkan hati, kuatkan iman, tambahkan ilmu agama dalam diri. Soleh dan solehahmu itu bantu mendamaikan orang tuamu di bawah sana.

Andai sebaliknya, yang damai menjadi ribut. Yang luas menjadi sempit. Yang sejuk menjadi panas meruap. Sudahlah menangis di dunia, di alam barzakh menangis lagi.

Berapa banyak lagi air matanya yang perlu tumpah untuk dirimu?

Hidup ini tidak lama. Esok, lusa. Berjumpa, bersua jua. Di akhirat sana. Hari ini mungkin umurmu belasan tahun, pejam celik saja, tua datang mengganti muda. Akhirnya, kamu jua diusung sama ke perhentian sementara.

Usah bersedih dengan yang pergi. Kerana kita jua akan pergi. Sayang mencecah awan pun, kamu cuma mampu simpannya dalam hati dan memori. Tidak mampu menghalangnya dari mati.

Malah, kamu sendiri. Andai disayangi orang sehabis sayang sekalipun, kamu jua akan pergi.

Kerana ayah bukan milik kamu. Kamu jua bukan milik ayah. Kita semua milik Dia. Mujur saja, Allah berikan cebisan rahmat-Nya untuk merasa erti kasih sayang di dunia.

Erti kasih sayang yang Dia berikan bukan untuk saja-saja. Tetapi, untuk kamu akhirnya mengerti yang lebih kamu patut sayangi adalah Allah jua.

Akhir kalam dariku wahai adik, ingatlah Surah Al-Insyiqaq ayat 6,

يَا أَيُّهَا الْإِنسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَىٰ رَبِّكَ كَدْحًا فَمُلَاقِيهِ

Ertinya: Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).

Rasulullah s.a.w. jua ada berdoa: "Ya Allah, jadikanlah kematian tempat istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan...."

Senyumlah wahai adik...

Biarkanlah ayahmu berehat..

[Muhammad Rusydi]

Shared by: storyaboutagirl-chocolate
.: Please take out with FULL CREDIT. Thanks :.
~♥

♥ 환영합니다 ♥

 

our lady peace! Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting